mutakhir

Maut dihempap traktor terbabas jatuh longkang

Oleh Juwan Riduan

PEMANDU traktor maut apabila kenderaan berat dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di Kampung Luagan Rampang, Beaufort, hari ini.

Dalam kejadian 3.40 petang itu, mangsa Abdul Hamid Raja, 59, yang tersepit di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.50 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 25 kilometer.

"Menurut Komander Operasi, kemalangan membabitkan Traktor Kobuto yang gagal dikawal sehingga terbabas sendiri masuk ke longkang.

"Seorang mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada 6.30 petang.

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 10:26pm
d