mutakhir

Suspek undur tiga kali, rempuh kereta polis

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek yang membawa dadah di Jalan Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 3.25 petang, kereta Proton Saga dipandu lelaki tempatan itu pada mulanya diekori kenderaan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek bertindak agresif selepas anggota polis memperkenalkan diri dan meminta lelaki berkenaan keluar dari kereta.

"Suspek cuba melepaskan diri dengan mengundurkan kereta sebanyak tiga kali dan merempuh kereta pasukan polis.

"Polis melepaskan beberapa das tembakan di bahagian tayar belakang dan tayar hadapan di bahagian kanan kereta suspek untuk mempertahankan diri.

"Ia turut bertujuan memberhentikan kenderaan berkenaan supaya tidak membahayakan keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, suspek cuba melarikan diri dengan memandu kereta itu ke atas tebing di tepi jalan berdekatan.

Beliau berkata, polis kemudian tembakan pada tayar hadapan sebelah kiri kereta suspek, sekali gus berjaya memberhentikan kereta itu.

"Suspek ditangkap selepas menyerah diri dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan ketika kejadian itu.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta suspek membawa kepada penemuan dadah jenis heroin 450 gram dan syabu (151 gram) manakala ujian air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine (syabu), Amphetamine dan THC.

"Suspek didapati mempunyai lima rekod jenayah berkaitan dadah. Permohonan reman ke atas suspek akan dilakukan esok, mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau polis berdekatan.

Berita berkaitan

'Polis lepas tembakan hentikan kenderaan dipandu penjenayah'

Disiarkan pada: August 12, 2020 @ 11:40pm
d