mutakhir

6 peragut, penyamun, pencuri ditahan kurang 24 jam

Oleh Asrol Awang

POLIS menahan enam individu, termasuk dua wanita, yang terbabit dengan jenayah ragut, samun serta curi motosikal di sekitar daerah ini, pada 2 dan 3 Ogos lalu.

Suspek berumur 23 hingga 29 tahun di tahan pada serbuan berasingan di Permatang Badak dan Indera Mahkota di sini, pada 2 Ogos lalu, disusuli penahanan di sebuah hotel bajet di Bandar Jengka, Maran, keesokan harinya.

Penahanan kumpulan ini membolehkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menyelesaikan 11 kes samun dan ragut, lima kes cubaan samun dan empat kes curi motosikal yang direkodkan berlaku sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, penahanan suspek hasil maklumat awam selain risikan pasukan khas Ops Rentap Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kuantan.

"Ops Rentap dijalankan selepas kami menerima empat laporan kes samun yang berlaku dalam tempoh 30 minit iaitu pada 12.15 hingga 12.45 tengah hari, 2 Ogos lalu.

"Ia membabitkan empat mangsa dengan jumlah kerugian RM7,500," katanya pada sidang media di IPD Kuantan hari ini.

Menurut beliau, pada hari sama, hasil maklumat awam serta risikan, dua lelaki ditahan di tepi Jalan Permatang Badak jam 9.30 malam disusuli penahanan dua lagi suspek di Indera Mahkota.

"Pada jam 1.30 tengah hari keesokan harinya, dua lagi suspek ditahan di Bandar Jengka.

"Kami turut merampas sebuah kereta, dua motosikal, lima topi keledar dan barangan kemas," katanya.

Menurut beliau, siasatan mendapati, keenam-enam suspek berasal dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kelantan selain tidak mempunyai pekerjaan tetap.

|"Lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik. .

"Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan," katanya.

Mohamad Noor berkata, taktik digunakan suspek ialah mencuri motosikal Yamaha Y15ZR di lokasi sekitar parkir kenderaan selain di lorong taman perumahan.

Pada masa sama, suspek menjadikan penunggang motosikal wanita yang memakai barangan selain berjalan bersendirian di parkir kenderaan sebagai sasaran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 392, Seksyen 394, Seksyen 395 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 (4) Akta Pencegahan Jenayah 1959," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 1:52pm
d