mutakhir

'Saya tak malu dan bersyukur dilahirkan sebagai OKU' [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

'HENDAK seribu daya, tak hendak 1,000 dalih', itu pegangan Mohamad Khairul Anuar Ismail, 35, bagi mengharungi kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Mohamad Khairul Anuar tidak pernah menyalahkan takdir kerana dilahirkan sebegitu, sebaliknya sentiasa berusaha menjadi yang terbaik selain cuba berdikari dengan kemampuan yang ada.

Dia yang ligat berkerusi roda akibat lumpuh kaki separas pinggang sejak lahir berkata, dia tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk tidak bekerja malah bersyukur kini mendapat pekerjaan tetap di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK).

"Alhamdulillah, saya memiliki beberapa kemahiran komputer, mampu mencipta laman web selain menguruskan media sosial di YOKUK.

"Banyak kerja yang saya lakukan di pejabat yang tidak memerlukan kekuatan fizikal namun perlu mahir dalam pengurusan teknologi maklumat (IT).

"Sebelum ini, saya bekerja sambilan sebelum diserap sebagai kakitangan tetap sejak tiga tahun lalu sebagai pembantu komunikasi," katanya.

Menurut Mohamad Khairul Anuar, ada masanya, dia juga perlu bertemu dengan pelanggan.

"Pada awalnya, saya akui, saya tiada keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai.

"Namun kini saya sudah biasa selain menanam azam untuk tidak sesekali menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk berjaya," katanya ditemui di pejabat YOKUK di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini.

Mohd Khairul Anwar yang juga anak bongsu daripada lapan beradik berkata, hasil titik peluhnya, dia bersyukur dapat menabung, membantu kedua ibu bapa serta memiliki kereta.

Katanya, ketika ini, banyak kemudahan disediakan untuk OKU dan ia memudahkan individu sepertinya untuk melakukan pelbagai aktiviti.

"Saya juga gemar melepak dengan rakan jika berkelapangan. Alhamdulillah, saya dianugerahi sahabat yang banyak membantu dan tidak pernah merendah-rendahkan saya," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 2:37pm
d