mutakhir

Banduan akhir kes dadah lebih ramai

Oleh Hayati Ibrahim

DEWAN Rakyat hari ini dimaklumkan terdapat 1,324 banduan akhir yang direkodkan sehingga kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, daripada jumlah itu, seramai 918 adalah kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234); manakala 374 kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, Akta Senjata Api membabitkan 16 banduan; Akta Penculikan (enam) dan dua di bawah Seksyen 396 Kanun Keseksaaan.

"Kami akui terdapat peningkatan banduan akhir di negara ini dan ia trend agak membimbangkan, walaupun kebanyakan banduan ini warga asing, tetapi mereka berada di Malaysia," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) mengenai trend jumlah banduan akhir yang dilihat semakin meningkat.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, tiada negara yang boleh dijadikan model untuk dicontohi sebagai negara yang boleh menguruskan masalah pengedaran dadah secara berkesan.

"Bagaimanapun, Malaysia sentiasa mengadakan kerjasama pintar dengan negara yang menggunakan kaedah perundangan untuk membendung masalah dadah.

"Selain perundangan, kita juga sentiasa mengkaji kaedah dan mengambil kira konvensyen yang diadakan di peringkat kebangsaan," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan kedua Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) yang bertanya negara paling rendah kes pengedaran dadah yang boleh dicontohi dan bagaimana cara mengawalnya.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 2:57pm
d