mutakhir

Premis barang lusuh beli, simpan kabel TNB

Oleh Ruwaida Md Zain

TINDAKAN premis perniagaan barang lusuh membeli dan menyimpan kabel aluminium Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dicuri, akhirnya menerima padah apabila ia berjaya dikesan polis.

Bertindak atas maklumat, premis di Jalan Haji Tarmadi, Kampung Rantau Panjang, Klang itu diserbu pada 2.50 petang, semalam

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, susulan serbuan itu, polis berjaya menahan dua warga tempatan dan empat warga asing membabitkan pemilik dan pekerja premis.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menyimpan kabel dan kepingan aluminium dipercayai milik TNB.

"Wakil TNB yang dipanggil mengesahkan premis itu bukan yang diiktiraf untuk pelupusan

barang TNB dan dipercayai diperolehi secara tidak sah.

"Polis kemudian menahan seorang lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan dua lelaki warga Myanmar yang berumur lingkungan 20an hingga 60an," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurulhuda berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas kabel yang dicuri, sebuah kenderaan serta beberapa barangan lain bernilai kira-kira RM50,000.

"Polis merampas 244 batang potongan kabel aluminium pelbagai warna dan ukuran, dua longgok potongan kabel aluminium pelbagai warna dan ukuran, guni plastik besar mengandungi kepingan tembaga.

"Turut dirampas buku catitan jual beli barangan, lori bersama anak kunci serta tong kosong berwarna biru," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan.

"Premis terbabit pernah diserbu awal tahun atas kesalahan sama malah pertuduhan sudah dibuat ke atas pemilik premis tetapi mereka masin meneruskan perniagaan," katanya.

"Kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 16 Ogos depan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekenhend, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 39(b), Akta Imigresan (bekerja tanpa permit sah) dan Seksyen 55B Akta Imigresen (menggaji pekerja tanpa permit sah).

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 4:36pm
d