mutakhir

1,000 pemandu Malaysia di Singapura mohon lesen sementara

Oleh Omar Ahmad

LEBIH 1,000 pemandu lori dan bas rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen memandu sementara buat mereka.

Ia bagi membolehkan mereka cari makan di negara ini selepas penutupan sempadan dua negara akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Task Force Pekerja Malaysia Singapura (Pemas), Dayalan Sreebalan berkata, kumpulan pemandu itu memiliki lesen memandu kenderaan perdagangan Singapura untuk membolehkan memandu kenderaan awam di negara itu.

"Bagaimanapun, mereka bermasalah untuk mencari peluang kerja di negara sendiri disebabkan tiada lesen setaraf di Malaysia.

"Jadi kami menyeru Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengeluarkan lesen memandu sementara yang boleh membantu mereka mendapat pekerjaan di Malaysia tanpa

menukar atau mematikan lesen memandu Singapura.

"Ini kerana bagi proses membuat lesen memandu Singapura lebih lama iaitu tiga bulan bagi kursus serta ujian lain," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum berkaitan isu itu di pejabat JPJ Johor di Johor Bahru, hari ini.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu turut mencadangkan lesen memandu sementara bagi tempoh dua bulan dan boleh diperbaharui sehingga pintu sempadan dibuka serta mereka boleh kembali bekerja di republik terbabit.

Sementara itu, pemandu bas bandar di Singapura, Muhammad Najmi Mohamed Radzi, 32, berkata sudah lima bulan dia tidak bekerja dan bergantung kepada wang simpanan yang semakin susut.

Dia yang berpengalaman 10 tahun memandu bas berkata, bimbang sukar menyara keluarga memandangkan tidak dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan lain.

"Kalau masalah ini berlanjutan, bagaimana saya mahu menyara keluarga? Saya pernah cuba buat kenderaan e-hailing tetapi tak dapat lesen disebabkan sudah ada lesen kenderaan perdagangan Singapura.

"Saya harap cadangan untuk lesen memandu sementara mendapat perhatian pihak sewajarnya demi membolehkan kami cari sesuap nasi," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 4:41pm
d