mutakhir

6 ditahan jual air ketum [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

ENAM individu termasuk seorang wanita ditahan pada serbuan berasingan Ops Tapis dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, serbuan pertama membabitkan sebuah rumah di Kampung Pasir Puteh, Chabang Empat, jam 2.30 petang semalam.

"Kami menahan seorang lelaki berusia 47 tahun. Pemeriksaan di rumah itu menemui 27 bungkus daun ketum bernilai RM1,080 dan wang RM62,230 hasil jualan daun ketum.

"Serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Wakaf Bharu pada jam 10 malam tadi. Kami menahan seorang wanita berumur 20-an dan merampas 151 bungkus air ketum, 61 plastik daun ketum, 70 botol kodein dan 940 pil Nitrazepam," katanya di IPD Tumpat hari ini.

Menurut Ab Rashid, selain itu, pihaknya turut menahan empat suspek berusia 20-an hingga 30-an di sekitar Wakaf Bharu.

Ab Rashid berkata, tiga daripada suspek positif methampethamine manakala dua lagi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Menurut Ab Rashid, semua barangan dirampas bernilai lebih RM3,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Kesemua suspek direman hingga 16 Ogos ini bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 5:09pm
d