mutakhir

Periksa latar belakang individu elak rasuah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

AGENSI penguatkuasaan disaran memeriksa latar belakang individu sebelum diterima bertugas bagi memastikan mereka yang benar-benar berintegriti dipilih menggalas tanggungjawab itu bagi mengelak berlakunya rasuah.

Penganalisis Jenayah Datuk Seri Akhbar Satar berkata, bagi memastikan mereka yang dipilih itu berintegriti pihak agensi penguatkuasaan boleh menggunakan kaedah membuat pengawasan dan mengadakan ujian integriti supaya dapat memastikan mereka kekal dengan amanah diberi.

Menurutnya, bagi mencapai objektif itu, sebagai orang atasan agensi penguatkuasan mereka juga perlu menjadi baik kerana setiap tindakan akan diawasi anak buah yang akhirnya akan mengikut jejak langkah berkenaan.

"Lagipun sekarang masyarakat sudah mula sedar dan apa-apa yang berlaku. Mereka sudah berani membuat aduan untuk diambil tindakan oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Sudah tentu mereka yang ingin mengambil rasuah itu akan berfikir 10 kali kerana jika ditahan akan hilang segala-galanya dan dipenjara," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar berkata, mereka yang tiada integriti perlu berhati-hati kerana sekarang sudah ramai masyarakat yang akan menyalurkan maklumat kepada SPRM.

"Saya juga sarankan masyarakat menyalurkan maklumat yang lebih baik supaya SPRM dapat mengambil tindakan," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 5:35pm
d