mutakhir

Tiga beradik didenda RM11,500 jual minyak angin tiruan

Oleh Amir Mamat

TIGA beradik dijatuhi hukuman denda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual minyak angin tiruan.

Tertuduh, Teo Fang Chin, 27, Teo Fang Hao, 25, dan Teo Wei Chiang, 23, mengaku melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar terhadap Feng Chin.

Sementara, Hakim Norma Ismail pula mengenakan denda RM7,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar terhadap Fang Hao manakala Wei Chiang pula dikenakan denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, semua tertuduh di dapati ada menjual 362 botol minyak angin tiruan pebagai saiz yang menggunakan suatu cap dagang berdaftar iaitu Cap Kapak.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara jam 12.28 sehingga 12.47 tengah hari di tiga kedai ubat di lokasi berasingan dalam daerah Melaka Tengah pada 11 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(ii) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10, 000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, semua barang tiruan itu dianggarkan bernilai RM2,123.90.

Terdahulu, peguam Nasdan Rengganathan Abdullah yang mewakili tiga beradik itu memohon hukuman berbentuk denda yang rendah diberikan dengan alasan ia adalah kesalahan pertama mereka dan tertuduh perlu menyara ibu serta bapa, selain seorang bapa saudara orang kelainan upaya (OKU).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Chiew King dan Pegawai Pendakwa, Sallim Wahid memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan memohon barang bukti dikembalikan untuk dilupuskan.

Semua barang bukti turut diperintah dikembalikan kepada pihak pendakwa untuk dilupuskan.

Ketiga-tiga beradik itu kemudian membayar denda berkenaan yang keseluruhannya berjumlah RM11,500.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 6:05pm
d