mutakhir

Belum terima data penyelidikan vaksin Covid-19 didaftarkan [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad; Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) belum menerima sebarang data penyelidikan berhubung vaksin Covid-19 yang didaftarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, banyak persoalan timbul dan tidak mempunyai jawapan sama ada vaksin berkenaan berkesan atau tidak.

"Kita tidak ada jawapan sama ada vaksin ini berkesan atau berapa liputan dia atau antibodi boleh kekal, adakah kita perlu laksanakan 'booster', jadi kita banyak persoalan.

"Tetapi, setakat ini kita tidak lagi menerima penerbitan mengenai kajian berkenaan. Jadi, jadi kita menunggu kajian dan penerbitan terlebih dahulu, baru boleh kata sama ada vaksin itu berkesan atau tidak," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya hanya mendapati kewujudan vaksin yang didaftarkan itu menerusi berita disiarkan media.

"Namun tiada bukti saintifik untuk kita lihat dan kaji, apa yang penting kita kena lihat keberkesanan dan kesan sampingan vaksin berkenaan.

"Semua data daripada kajian klinikal fasa ketiga perlu dijalankan dan kita tidak pasti dijalankan atau tidak.

"Kalau dijalankan kita perlu lihat data itu sebelum boleh mengesyorkan penggunaan vaksin berkenaan di negara ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 6:06pm
    d