mutakhir

Seminggu lagi keputusan virus mutasi D614G atau tidak [METROTV]

Oleh Saipul Adli Mohamad; Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

HASIL kajian bagi menentukan sama ada virus daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga adalah mutasi D614G akan diketahui dalam tempoh seminggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian 'genomic sequence' memakan masa dua minggu berikutan virus perlu diasingkan dan dikotorkan.

"Kajian untuk menjalankan genomic sequence ini memakan masa dalam dua minggu, pertama kita kena asingkan virus, kedua kena kotorkan virus ini sebelum boleh membacanya.

"Kajian ini sedikit makan masa, mungkin dalam tempoh seminggu lagi akan dapat keputusan sama ada ia atau bukan (mutasi D614G)," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, setakat ini walaupun pihaknya mengesyaki Kluster PUI Sivagangga adalah mutasi D614G berikutan merebak secara cepat dan pantas, tetapi ia belum disahkan sepenuhnya.

"Besar kemungkinan (D614G), tetapi kita tidak pasti lagi. Kita perlu (menjalankan) genomic sequence sebelum sahkan menghadapi mutasi D614G.

"Mutasi ini dikesan pada Julai lalu dan setakat ini belum dapat disahkan lagi PUI Sivagangga ada kaitan dengan D614G," katanya.

Sebelum ini, Noor Hisham berharap kawalan sempadan perlu ditingkatkan kerana virus mutasi D614G turut dilaporkan di Eropah dan negara lain.

Virus itu dikatakan boleh meningkatkan kebolehjangkitan Covid-19 lebih 10 kali ganda dalam kalangan mereka yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hasil tindakan kesihatan awam setakat ini, jangkitan Kluster PUI Sivagangga di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang berjaya dikawal melalui pengesanan kes aktif serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 6:25pm
    d