mutakhir

Sarang judi di kondominium mewah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

MENJADIKAN kondominium mewah sebagai 'sarang' atau pusat operasi bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.

Itu modus operandi sindiket perjudian dalam talian yang mensasarkan kaki judi dari China.

Bagaimanapun kegiatan haram itu berjaya dikesan polis menerusi serbuan dilakukan Bahagian Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada 3 petang, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, dalam serbuan di kondominium mewah di Jalan Ampang di Kuala Lumpur itu, enam warga China termasuk seorang wanita diberkas.

"Hasil siasatan awal, lokasi dua unit kediaman yang diserbu adalah tempat untuk urusan 'khidmat pelanggan' bagi memudahkan proses pembayaran pertaruhan pasaran perjudian di China.

"Sindiket yang beroperasi sejak sebulan lalu ini memilih lokasi yang mempunyai ciri keselamatan ketat di mana terdapat pengawal keselamatan, pemantauan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), serta kad akses untuk masuk, naik dan turun lif ke setiap unit yang disewa," katanya selepas melihat sendiri proses pengendalian perjudian secara dalam talian di Jalan Ampang, di Kuala Lumpur.

Mohd Zani berkata, sindiket yang beroperasi 24 jam setiap hari itu menawarkan pelbagai pilihan permainan judi atas talian seperti slot Canada28, Beijing28, FuChai28 melalui laman sesawang tertentu.

"Sindiket akan menggunakan transaksi kewangan melalui perbankan dalam talian (bank-bank di China) untuk proses menerima dan membayar wang pertaruhan atau kemenangan menggunakan mata wang China.

"Mereka (sindiket) juga dilaporkan mampu mengaut keuntungan besar RM25,000 sebulan hasil kegiatan pertaruhan dan mampu membayar gaji bulanan sebanyak RM3,000 hingga RM3,500 kepada pengendali warga China yang ditahan," katanya.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas empat komputer riba, dua unit komputer, 12 telefon bimbit, modem, router, 12 kad bank pelbagai jenama dan enam alat penerima sistem TAC.

"Semua yang ditahan berusia antara 22 hingga 52 tahun disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 9:10pm
d