mutakhir

Mayat terapung bersama basikal

Oleh Nor Amalina Alias

LELAKI orang kurang upaya (OKU) maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air di Kampung Pantai Damat, Bachok, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mayat mangsa berusia 50-an ditemui terapung bersama basikal miliknya oleh pelajar sekolah yang kebetulan melalui kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Shamsulmuddin Sulaiman berkata, mangsa dipercayai terjatuh ketika menunggang basikal pada malam tadi.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dianggarkan meninggal dunia melebihi 10 jam.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tali air ketika menunggang basikal.

"Kejadian dipercayai berlaku malam tadi (Rabu) dan tiada saksi nampak kejadian, cuma pagi ini ada pelajar sekolah perasan ada mangsa dalam parit itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah pada mangsa dan basikal ditemui itu.

"Memang tiada unsur jenayah atau mangsa kena langgar, bagaimanapun kita belum dapat sepenuhnya siasatan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: August 13, 2020 @ 11:51pm
d