mutakhir

Singgah berehat konon...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEORANG lelaki memberi alasan hanya singgah untuk berehat di rumah rakan wanitanya kononnya tidak tahan bergaduh dengan adiknya di rumah.

Bagaimanapun, lelaki berusia 26 tahun itu dicekup berkhalwat dengan pasangannya berusia 23 tahun oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) dalam serbuan 12.25 tengah malam tadi di sebuah rumah di Taman Jati, Kulim.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan anggotanya yang diketuai Azwan Azman melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.

Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita membuka pintu lalu membenarkan pemeriksaan dilakukan di rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu dipercayai bersembunyi dalam bilik ketiga di tingkat atas rumah itu sebelum keluar selepas diarahkan.

"Pemeriksaan kemudian mendapati, pasangan itu tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau ikatan sah suami isteri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, lelaki itu memberi alasan yang dia memberitahu keluarganya hendak menumpang tidur di rumah rakan lelakinya di sekitar Kulim.

Bagaimanapun, katanya, ketika soal siasat, lelaki itu memberi alasan singgah di rumah wanita itu dahulu untuk berehat.

"Namun hasil maklumat awam yang diterima, lelaki itu datang ke rumah wanita terbabit sejak petang semalam.

"Selain itu, maklumat awam yang diterima juga mendapati, wanita itu sering keluar dengan ramai lelaki lain," katanya.

Berikutan itu, Radzi berkata, pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 11:32am
d