mutakhir

3 ditahan SPRM rasuah RM3 juta

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang Bekas Ahli Lembaga Pengarah dan dua Pengarah Syarikat berhubung kes rasuah yang membabitkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 39 hingga 73 tahun ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, semalam.

Menurut sumber, mereka ditahan atas kesalahan memberi dan menerima rasuah yang melibatkan wang berjumlah RM3 juta.

"Ini berhubung pengambilalihan projek pembalakan di daerah di negeri Pahang seluas 6,591.67 ekar pada 2015 lalu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek akan dihadapkan ke mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu .

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 12:36pm
d