mutakhir

Polis nafi tutup sempadan negeri Perak, Kedah di Gerik

Oleh BERNAMA

POLIS menafikan dakwaan kononnya laluan sempadan negeri di Jalan Gerik-Kupang, Gerik ke Daerah Baling, Kedah ditutup susulan Kluster Tawar.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya tidak menutup laluan keluar masuk negeri Perak ke Kedah seperti yang didakwa dan gambar yang ditularkan adalah operasi bersepadu yang dijalankan polis semalam.

"Operasi itu hanya diadakan pada waktu tertentu dan ia dilaksanakan bagi membuat pemeriksaan seperti kesalahan lalu lintas dan sebagainya.

"Polis sedang mengesan individu yang menyebarkan berita palsu itu dan orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan sesuatu yang tidak benar kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, sesiapa yang ingin mendapatkan keterangan atau maklumat sahih boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di talian 05-7911222.

Kementerian Kesihatan semalam dilaporkan mengesan satu Kluster Tawar di Kedah membabitkan 10 kes positif dengan kes pertama kluster itu adalah kes ke-9,113 yang dikesan positif Selasa lalu sementara sembilan kes lagi dilaporkan positif semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 4:24pm
    d