mutakhir

Maut kepala tertusuk besi

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PEKERJA kontrak maut akibat tertusuk besi di kepala dalam kejadian di tapak pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dekat stesen LRT Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.53 tengah hari.

Komander Operasi Kanan, Shazzuan Ramli berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kita mendapati seorang lelaki tempatan berusia 30-an mengalami kecederaan parah di kepala.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila ikatan di belakang treler berisi muatan besi untuk dipasang pada tiang konkrit di tapak pembinaan berkenaan menggelongsor ke arah mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota paramedik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 5:32pm
d