mutakhir

Covid-19: Kluster baharu dikesan di Kuala Muda, Kedah

Oleh Suraya Roslan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baharu di Kuala Muda, Kedah selepas seorang lelaki warga Malaysia yang juga anggota polis, iaitu kes ke-9,114, dilaporkan dijangkiti wabak itu semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hari ini satu kes baharu, iaitu kes ke-9,147, dilaporkan daripada kluster itu membabitkan rakan kerja kepada kes indeks.

"Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dijalankan pada semalam dan kes dikesan positif pada hari ini.

"Setakat hari ini, 124 kontak rapat sudah disaring dan didapati dua daripadanya dikesan positif, lima negatif dan 117 masih menunggu keputusan.

"Semua kes dalam kluster Muda ini adalah warga Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, selain penularan kes kluster baharu itu, sebanyak 11 kes penularan tempatan daripada 20 kes baharu yang dilaporkan hari ini membabitkan Kluster Tawar.

Beliau berkata, penambahan 11 kes baharu daripada kluster itu membabitkan 10 kes di Kedah dan satu di Pulau Pinang.

"Adalah dimaklumkan kes ke-9,129 daripada kluster ini yang dilaporkan semalam dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang daripada sebuah pusat perubatan swasta, namun kes ini kekal didaftarkan sebagai kes di Kedah.

"Seramai 261 orang disaring dalam kluster ini dan 21 kes dikesan positif Covid-19 setakat 12 tengah hari, hari ini," katanya.

Katanya, pecahan saringan mengikut negeri adalah 156 disaring di Kedah, 20 positif manakala 59 masih menunggu keputusan.

"Selain itu, seramai 105 disaring di Pulau Pinang, seorang positif manakala 29 lagi masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 5:57pm
    d