mutakhir

Rondaan dan pemantauan 24 jam di kawasan zon kuning Covid-19

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS mengadakan rondaan dan pemantauan selama 24 jam di kawasan yang diisytiharkan zon kuning susulan pertambahan kes Covid-19 di Seberang Perai Tengah bagi memastikan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pemeriksaan kerap dijalankan di pasar awam, perhentian bas, pusat hiburan dan kompleks beli-belah.

"Polis ambil maklum mengenai pertambahan kes Covid-19 yang dilaporkan di daerah ini yang kini diisytiharkan sebagai zon kuning dan keadaan masih terkawal.

"Sebagai langkah, rondaan dan pemantauan selama 24 jam dilakukan oleh pasukan task force serta ketua balai bagi memastikan semuanya mematuhi SOP jika mahu berada dalam keadaan selamat serta bebas dari virus berbahaya ini," katanya selepas menyerahkan peti surat polis kepada Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang dekat Bandar Perda, Bukit Mertajam, hari ini.

Beliau berkata, tindakan kompaun dan penutupan premis akan diambil bagi pemilik perniagaan yang ingkar serta tidak patuh pada SOP.

"Seperti baru-baru ini, kita ada kesan pusat hiburan yang beroperasi secara sulit dan ada juga yang dulu pernah dikenakan kompaun tetapi masih lagi ingkar pada arahan.

"Oleh itu, kita tidak akan berkompromi atas kesalahan seumpama ini dan sentiasa akan mengambil tindakan," katanya.

Shafee berkata, beliau meminta orang awam mengikut segala saranan yang ditetapkan kerajaan demi keselamatan dan kesihatan semua.

"Jika di tempat itu perlu pakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal ketika berada di tempat sesak kerana ini untuk kebaikan semua," katanya.

Kes Covid-19 di Pulau Pinang merekodkan sebanyak 125 kes yang mana 120 kes sembuh, satu kematian dan empat kes masih aktif.

Empat kes yang masih aktif terdiri dari satu kes di daerah Seberang Perai Selatan dan tiga kes di daerah Seberang Perai Tengah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 6:02pm
    d