mutakhir

Peniaga tak sempat alih barang, MBSA sudah datang [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PENIAGA di Bandar Baru Sungai Buloh yang terbabit dalam operasi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendakwa tidak diberikan masa yang cukup untuk membuat persiapan di premis.

Notis yang diterima Rabu lalu menetapkan semua barangan perlu dialihkan dalam tempoh 24 jam, namun peniaga kesal kerana rayuan melanjutkan masa tiga jam tidak diendahkan.

Nurul Ain Abdul Rashid, 57, yang mengusahakan kilang percetakan sejak 30 tahun lalu berkata, dia menggunakan sebahagian kilangnya untuk menjual makanan dan minuman di dalam kontena yang diletakkan berdekatan kedainya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia perlu menjual kontena terbabit segera kerana akur dengan arahan MBSA yang meminta dia mengalihkannya atau berdepan tindakan.

"Kami bukan tak mahu patuh. Sebelum ini dimaklumkan lesen tidak boleh dikeluarkan kerana status premis yang khusus untuk kilang.

"Tetapi ada juga peniaga di sini yang dapat lesen. Sekarang enam orang pekerja saya terpaksa cuti sementara kerana tidak boleh berniaga," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau turut mengambil peluang kunjungan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar ke kawasan itu untuk memaklumkan mengenai masalahnya.

Sementara itu, Noh berkata, pihaknya meminta penjelasan mengenai tauke judi yang sehingga kini tidak diambil tindakan, sebaliknya peniaga yang mencari makan sejak puluhan tahun lalu yang terkesan.

Katanya, isu berkenaan akan dibawa ke Dewan Rakyat sekali lagi untuk mendapat pencerahan kerana apa yang berlaku ketika ini disifatkannya sebagai berat sebelah.

Pada sidang media itu Penaung Peniaga-Peniaga Kecil Selangor Datuk Jamal Yunos turut membuat gimik mesin jahit sebagai mesin judi yang dirampas MBSA.

Katanya, sepatutnya peniaga di situ tidak diambil tindakan sebaliknya premis yang digunakan untuk aktiviti judi yang perlu dibanteras sepenuhnya.

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 6:11pm
d