mutakhir

Harga pelindung muka perlu ditetapkan - Fomca

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KERAJAAN perlu menetapkan segera harga pelindung muka (face shield) jika peralatan itu akan digunakan secara meluas khususnya dalam kalangan murid sebagai alternatif menggantikan pelitup muka.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, peniaga mungkin akan mengambil kesempatan menaikkan harga sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menggunakan pelindung muka.

Menurutnya, buat masa ini pelindung muka dijual pada harga RM4 hingga RM5 setiap unit dan kemungkinan harga itu boleh meningkat apabila permintaan meningkat dengan mendadak.

"Harga siling pelindung muka sementara perlu diputuskan segera oleh kerajaan sehingga permintaan dan penawarannya stabil. Apabila permintaan melebihi penawaran sudah pasti ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

"Mekanisme harga yang lebih rendah perlu dibuat kerana ia secara tidak langsung membantu mengurangkan beban mereka daripada keluarga berpendapatan rendah untuk membelinya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kenaikan harga pelindung muka akan berlaku sekiranya Kementerian

Kesihatan Malaysia (KKM) menerima cadangan kerajaan untuk menggunakan peralatan itu khususnya kepada murid sekolah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan ada mencadangkan penggunaan pelindung muka sebagai alternatif kepada pelitup muka yang perlu diganti setiap hari khususnya kepada murid.

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan pihaknya masih mengkaji cadangan itu kerana masih belum ada bukti klinikal penggunaan pelindung muka dapat menghalang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, cadangan itu dilihat antara langkah yang baik mengurangkan beban mereka kurang berkemampuan kerana pelindung muka dapat digunakan berulang kali selepas dicuci berbanding pelitup muka yang diperlu ditukar setiap hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 6:16pm
    d