mutakhir

380 kilogram daun ketum gagal diseludup ke Thailand

Oleh Zuliaty Zulkiffli

CUBAAN tekong darat menyeludup 380 kilogram daun ketum ke negara jiran melalui sempadan Malaysia-Thailand di Durian Burung di sini, semalam digagalkan pihak berkuasa.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataannya berkata, kejayaan adalah hasil operasi dikoordinasi Markas Briged Keenam Infantri Malaysia (MK6 Briged) dengan kerjasama agensi keselamatan terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Turut menyertai operasi itu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut kenyataan itu, pasukan operasi mengesan terdapat beberapa kenderaan mencurigakan membabitkan kenderaan sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal di laluan Batu Sempadan (BS34).

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 38 bungkus plastik hitam sarat dengan 2,280 bungkusan plastik lutsinar mengandungi daun ketum seberat 380 kilogram di dalam kereta berkenaan serta menahan dua lelaki warganegara Malaysia dari Kuala Nerang.

"Daun ketum dikatakan kemudiannya dipindahkan dari kereta menggunakan motosikal sebelum dimasukkan ke dalam guni putih dan diletakkan di kawasan yang dirancang sebelum dibawa masuk ke Thailand oleh penyeludup," katanya.

Selain itu, transaksi pengangkutan dan muatan adalah disebabkan faktor bentuk muka bumi dan halangan yang dibina oleh pasukan keselamatan di perbatasan.

Katanya, nilai kesemua barang rampasan dan daun ketum mencecah hampir RM27,700.

"Kesemua barang rampasan dan suspek diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk laporan dan siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2020 @ 8:45pm
d