mutakhir

Hilang seminggu, jumpa hanya tinggal rangka

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PEMBUAT pisau yang dilaporkan hilang seminggu lalu dijumpai mati dalam keadaan sudah tinggal rangka di dalam hutan Bukit Pelandok, Port Dickson, petang tadi.

Wong Kwang Hui, 45, bekerja sendiri sebagai pembuat pisau dan masih bujang tinggal di Kampung Bukit Pelandok dipercayai hilang sejak 9 Ogos lalu.

Ketua Operasi, Rosman Md Nor berkata, pihak Bomba dan Penyelamat Port Dickson menerima panggilan kecemasan pada 3.19 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Bantuan diminta polis bagi mencari mangsa seorang lelaki berbangsa Cina yang dipercayai hilang sejak 9 Ogos lalu sehingga kini.

"Kerja mencari dan menyelamat dilakukan pihak bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Rangka itu ditemui pada 5.37 petang tadi di tepi sungai kira-kira 500 meter dari motosikal mangsa," katanya.

Katanya, rangka itu kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Ren Gui, 50, berkata, dia tidak pasti kenapa adiknya ke hutan, mungkin dia mencari kayu untuk membuat hulu pisau.

"Dia memang terkenal sebagai pembuat pisau di Kampung Bukit Pelandok. Saya amat sedih apabila mayatnya ditemui dalam keadaan begini.

"Bagaimanapun, saya perlu membuat ujian DNA bagi memastikan rangka itu benar milik adik atau orang lain tetapi motosikal jenis Modenas itu memang miliknya," katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 12:05am
d