mutakhir

Dua 'Datuk' direman kes rasuah projek pembalakan

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

DUA individu bergelar Datuk direman empat dan lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta.

Seorang suspek yang juga bekas Timbalan Pengerusi syarikat berusia 65 tahun direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Ogos.

Sementara, seorang lagi individu iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat berusia 40 tahun itu direman selama lima hari mulai hari ini sehingga 19 Ogos.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Menurut sumber, mereka ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 5 petang dan 10.20 malam, semalam.

Semalam, media melaporkan SPRM mendapat perintah reman terhadap tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes yang sama.

Mereka disyaki terbabit dalam kesalahan memberi dan menerima rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan projek pembalakan seluas 2,557. 5 hektar (6,591.67 ekar) di sebuah daerah di Pahang, sekitar 2015.

Sumber berkata, projek itu membabitkan nilai berjumlah RM27 juta.

Berita berkaitan

3 ditahan SPRM rasuah RM3 juta

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 1:37pm
d