mutakhir

Lantik belia Ahli Dewan Negara [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

KERAJAAN bersetuju melantik seorang belia sebagai Ahli Dewan Negara untuk memastikan suara anak muda memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara .

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi membolehkan suara dan pandangan anak muda sentiasa diberi perhatian dan diambil kira dalam setiap proses keputusan kerajaan di semua peringkat.

Katanya, kerajaan juga mengiktiraf peranan pertubuhan belia dalam pembangunan belia di pelbagai peringkat di negara ini.

"Saya bertemu dengan pemimpin MBM (Majlis Belia Malaysia) baru-baru ini dan perbincangan yang diadakan jelas menampakkan persefahaman yang wujud di antara pucuk pimpinan belia dan kerajaan dalam usaha memperkukuh landasan pembangunan golongan belia di negara kita.

"MBM juga mencadangkan supaya kerajaan membentuk kumpulan khas penasihat anak muda yang menasihati saya apa yang perlu dilakukan untuk anak muda.

"Saya bersetuju dengan cadangan itu dan Insya-Allah ia akan dilaksanakan. Untuk menentukan anak muda sampai ke peringkat tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen, saya umumkan pelantikan seorang wakil belia dalam Parlimen Malaysia di Dewan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2020, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Johor mulai hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, beliau memandang serius kebimbangan Menteri Belia dan Sukan mengenai kelompok belia resah iaitu belia yang sedang bekerja namun risau akan dibuang kerja dan hilang pekerjaan.

"Kelompok belia resah juga membabitkan belia yang sedang menanti untuk memasuki alam pekerjaan, usahawan belia dan belia NEET iaitu 'not in education, employment and training'.

"Secara rasionalnya, belia resah kini berhadapan dengan dilema cabaran ekonomi khususnya untuk mendapatkan pekerjaan.

"Namun menurut statistik terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga Jun lalu, kadar pengangguran di negara ini menurun kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei lalu.

"Kadar pengangguran belia sehingga Jun lalu juga menurun iaitu bagi belia berumur antara 15 hingga 30 tahun kadarnya ialah 9.7 peratus berbanding 10 peratus pada Mei lalu, manakala belia berumur 15 hingga 24 tahun pula, kadar pengangguran pada Jun lalu ialah 13.1 peratus berbanding 14.2 peratus, Mei lalu, " katanya.

Muhyiddin berkata, kadar pengangguran termasuk membabitkan belia yang menurun itu adalah tanda awal usaha pemulihan ekonomi yang dijalankan kerajaan mula menampakkan hasil.

"Kita perlu terus berdoa dan berusaha untuk memastikan golongan belia turut bersama-sama berada di landasan pemulihan ekonomi negara seperti yang dirancang, " katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 5:43pm
d