mutakhir

Sultan Johor komited majukan Melaka-Johor bersama

Oleh Amir Mamat

PERTEMUAN Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, semalam, adalah langkah permulaan dalam usaha membangunkan kawasan sempadan kedua-dua negeri.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri sangat berbesar hati apabila Sultan Ibrahim berkenan mengemukakan beberapa pandangan serta cadangan bagi melaksanakan pembangunan demi kebaikan rakyat kedua negeri.

"Permulaan yang baik untuk kedua-dua negeri. Saya berharap pertemuan itu dapat 'mengikat' lebih banyak pembangunan, khususnya di kawasan sempadan Melaka-Muar," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau diminta mengulas pertemuan rombongan mengadap kerajaan negeri ke atas Sultan Ibrahim Istana Polo Pasir Pelangi, Johor Bahru, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, hubungan erat antara keluarga Diraja Johor dengan kerajaan Melaka turut menyaksikan peningkatan pelancong antara kedua-dua negeri, selain komited supaya kedua-dua kerajaan negeri dapat bersama meneroka peluang lebih besar dalam sektor ekonomi, pelaburan serta sumber air.

"Pertemuan lebih sejam itu juga cukup bererti buat Melaka sebagai lambang keakraban kedua negeri berjiran yang diterjemahkan menerusi kerjasama kukuh ekonomi, pelancongan dan pelaburan.

"Menerusi pertemuan ini, Melaka berharap dapat mempertingkatkan lagi kerjasama pelaburan serta sumber air antara Johor dan Melaka," katanya.

Sementara itu, rombongan kerajaan Melaka turut mempersembahkan dua set beca edisi khas kepada Sultan Ibrahim.

Baginda turut berkenan melihat kedua-dua beca masing-masing berwarna biru dan berbelang corak harimau, sebelum berkenan mengayuh beca satu daripada beca berkenaan.

Baginda turut menerima 'buah tangan' berupa belacan dan cencaluk.

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 7:17pm
d