mutakhir

Polis gempur sarang dadah di Chow Kit

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KAWASAN Chow Kit dan Flat Sri Selangor di Kuala Lumpur yang dikenal pasti sebagai lokasi panas bagi kegiatan penagihan dan pengedaran dadah diserbu pihak polis, hari ini.

Dalam Operasi Sarang Bersepadu bermula 2 pagi hingga 1 tengah hari itu, seramai 102 individu berusia 16 hingga 65 tahun ditahan untuk pemeriksaan, dan 92 daripadanya didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, daripada jumlah itu, seramai 14 individu didapati membekal serta memiliki sejumlah dadah bersama mereka.

"Kami turut merampas dadah jenis heroin seberat 19.79 gram, syabu (17.05 gram), ketamin (12.05 gram) dan ekstasi (85.04 gram) yang dianggarkan bernilai RM10,460," katanya ketika ditemui di Balai Polis Chow Kit, hari ini.

Operasi itu membabitkan seramai 80 pegawai dan anggota polis dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, semua individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut dan menjalani saringan ujian air kencing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2), Seksyen 39A (1), Seksyen 39A (2), Seksyen 15(1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kami akan melaksanakan operasi ini secara berkala terutama di lokasi panas yang dijadikan sebagai sarang penagihan serta pengedaran dadah untuk membanteras aktiviti berkenaan di daerah ini," katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 9:06pm
d