mutakhir

Sekolah ditutup selagi Covid-19 belum reda

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PENUTUPAN sekolah di empat kawasan di Kedah dan dua di Perlis susulan penularan wabak Covid-19 perlu dilakukan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menentukan jumlah bilangan hari yang sepatutnya pelajar dan murid bercuti.

"Untuk makluman, selagi tidak mendapat persetujuan dan nasihat dari KKM dan MKN, selagi itu sekolah akan ditutup," katanya tadi.

Terdahulu, Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar melepaskan Konvoi Jelajah Info On Wheels (IOW) Merdeka anjuran Jabatan Penerangan Selangor (JaPen) di Dataran Tonggak 9, Stadium Sungai Besar, Selangor.

Media pada 3 Ogos lalu melaporkan kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di empat kawasan di Kedah.

Empat kawasan itu adalah Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu ; Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap ekoran penularan Covid-19 yang berpunca daripada kluster PUI Sivagangga.

Pada 10 Ogos pula, dua kawasan di Perlis iaitu Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul turut dikenakan TEMCO sehingga 31 Ogos.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kes Jalur Gemilang yang dipamer secara terbalik, Muslimin menasihatkan supaya pemasangan bendera itu dilakukan oleh pihak pentadbir sekolah.

"Sesiapa sahaja boleh memasang Jalur Gemilang sama ada guru atau sebaliknya, tetapi mesti diarahkan oleh pihak pentadbir sekolah.

"Untuk itu, semua pihak perlu ambil perhatian mengenai perkara ini, lebih-lebih kita akan meraikan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 9:51pm
    d