mutakhir

DBKL gempur premis perniagaan warga asing

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

MASIH ada warga asing yang berani menjalankan aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun tidak dibenarkan berbuat demikian.

Susulan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi menggempur lima premis dikendalikan warga asing di Seputeh hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, dalam operasi pertama di Jalan Awan Hijau, pihak berkuasa menyerbu sebuah kedai cuci kenderaan yang dijalankan warga India dan tidak mempunyai lesen daripada DBKL.

Menurutnya, premis itu diambil tindakan sita dan tutup serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Di Jalan Awan Hijau 1, kita kemudian memeriksa sebuah gerai mamak yang dikendalikan warga negara tetapi menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran sah.

"Gerai ini mempunyai lesen sah daripada DBKL dan diambil tindakan notis kompaun mengikut Seksyen 14(1)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Nor Hisham berkata, dalam serbuan di sebuah apartmen di Jalan 14/155C Bukit Jalil, pihaknya mendapati kedai gunting rambut dijalankan oleh warga Bangladesh walaupun mempunyai lesen yang sah daripada DBKL dan disyaki disewa.

"Kedai itu diambil tindakan tutup serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Di lokasi sama juga, kita memeriksa kedai runcit dijalankan lelaki warga Bangladesh namun dia sempat melarikan diri yang mana premis itu mempunyai lesen yang sah daripada DBKL dan kita syak disewa.

"Kedai itu diambil tindakan sita dan tutup serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyerbu sebuah pasar mini di kawasan terbabit dan mendapati ia dijalankan oleh warga Indonesia juga mempunyai lesen sah daripada DBKL (disyaki disewa).

"Kedai itu juga diambil tindakan tutup serta-merta mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Di pihak JIM, melakukan 10 pemeriksaan dan mengeluarkan 10 notis amaran," katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2020 @ 11:54pm
d