mutakhir

Pahang warta lebih 999,000 hektar hutan perlindungan

Oleh Mohd Rafi Mamat

KERAJAAN Pahang mewartakan lebih 999,000 hektar kawasan sebagai hutan perlindungan yang dapat menyediakan sumber bekalan kayu mentah bagi menampung industri berasaskan kayu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, penyediaan kawasan hutan yang luas mengambil kira kepentingan persekitaran secara seimbang dengan pembangunan sosial dan ekonomi terutama membabitkan peluang pekerjaan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam memastikan sumber hutan terus terpelihara dan kekal, selain turut menjadi sumber pendapatan kepada kerajaan.

"Sektor perhutanan menjadi penyumbang kedua terbesar kerajaan negeri dengan menghasilkan pendapatan lebih RM130 juta tahun lalu menerusi pelbagai sumber seperti premium, royalti dan sumber hutan lain yang menjadi pemangkin pembangunan sektor perindustrian.

"Bagi memacu sektor perindustrian perkayuan di negeri ini ke arah lebih maju, Pelan Strategik Perindustrian Pahang ( PSPP) 2020-2025 diwujudkan khusus melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi mengoptimumkan sumber semula jadi yang ada.

"Selain itu, kami sentiasa berusaha menambah hasil negeri, terbaru adalah membangunkan industri pemprosesan hasil perkayuan keluaran negeri ini," katanya pada Majlis Dialog Setiausaha Kerajaan Pahang dengan pengusaha industri kayu-kayan Pahang di Kuantan, semalam.

Hadir sama Pengarah JPNP Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Dialog kali pertama dianjurkan oleh JPNP itu disertai lebih 120 peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta pengusaha industri kayu-kayan.

Beliau berkata, kerajaan negeri bercadang mewujudkan hub perindustrian kayu-kayan di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan.

Menurutnya, kemudahan pelabuhan serta Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan dibina tidak lama lagi dapat merancakkan lagi sektor berkenaan.

Sallehuddin berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan kini berusaha menarik pelabur dalam dan luar negara untuk datang membuka kilang berasaskan kayu di Gebeng dengan menawarkan pelbagai kemudahan.

"Saya yakin dengan usaha yang dilakukan serta disokong pengusaha industri kayu-kayan di Pahang, impian meletakkan Gebeng sebagai hub perindustrian perkayuan terkenal di negara ini akan menjadi kenyataan," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 11:40am
d