mutakhir

Suri rumah rugi 2.4 juta diperdaya Macau Scam

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SURI rumah kerugian RM2.4 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak Telekom, April lalu.

Mangsa berusia 60 tahun dihubungi seorang lelaki memaklumkan mempunyai bil tertunggak dan terbabit dengan kegiatan pengedaran kad kredit palsu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek kemudian kononnya menyambung talian ke Balai Polis Kuantan untuk pemeriksaan.

"Mangsa diberitahu terbabit dengan kegiatan kad kredit palsu dan penggubahan wang haram.

"Mangsa yang takut dengan ugutan suspek mengikuti arahan suspek supaya memindahkan wang simpanan akaun tetap milik mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, mangsa membuka satu akaun baru di RHB Bank sebelum suspek memindahkan semua wang dari bank berkenaan ke 23 akaun bank milik individu yang tidak kenali.

"Mangsa memberikan semua ciri keselamatan akaun RHB bank kepada suspek kononnya untuk memudahkan siasatan.

"Mangsa mula menyedari ditipu 12 Ogos lalu apabila suspek menghubunginya untuk membuat pindahan wang ke akaun yang lain dan mengugut pihak polis akan melakukan tangkapan sekiranya dia gagal memberi kerjasama," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Masyarakat diminta untuk tidak panik dengan panggilan sebegini. Sebaiknya hubungi terus pihak yang berkenaan bagi membuat pengesahan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 12:16pm
d