mutakhir

Sempadan Malaysia-Singapura dibuka berperingkat

Oleh Nurul Amanina Suhaini

KERAJAAN bersedia membuka sempadan Malaysia-Singapura bagi fasa pertama yang dijangka secara berperingkat mulai hari ini sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pergerakan rentas sempadan mengikut kategori dan jumlah yang dibenarkan itu bagaimanapun akan diketahui esok.

Katanya, pembukaan berkenaan akan membabitkan kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

"Kalau satu keputusan dibuat oleh kerajaan, sudah tentunya kita ada penyelarasan sesama agensi, jadi itu tidak ada masalah.

"Apabila sempadan buka, sudah tentu kita (kerajaan) akan bekalkan pengangkutan awam. Mesti ada percaturan yang rapi dan apabila melihat adanya permintaan, akan ada pergerakan (pengangkutan).

"Saya perlu semak perancangan setakat ini untuk esok. Mungkin akan beransur-ansur benarkan. Kalau ada permintaan rasanya kita tidak ada masalah, bermakna persetujuan daripada kedua-dua negara namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Grisek, Pasir Gudang, hari ini.

Menurutnya, pembukaan sempadan negara secara tidak langsung akan membantu sektor ekonomi tempatan termasuk pengangkutan awam.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 2:40pm
d