mutakhir

PRK DUN Slim: Calon patuhi SOP berkempen

Oleh BERNAMA

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz memilih untuk berkempen secara bersemuka dengan pengundi berbanding mengadakan ceramah atau program.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, selain dapat beramah mesra dengan pengundi, ia juga dapat mengelak keadaan bersesak di sesuatu acara atau ceramah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Dengan melakukan kempen secara bersemuka ini, saya dapat lebih mesra dengan pengundi dengan mendengar pelbagai keluhan dan pandangan daripada mereka serta menjaga prosedur operasi standard (SOP), tidaklah berhimpit dan bersesak berbanding mengadakan ceramah atau program di dalam dewan," katanya kepada pemberita selepas bertemu masyarakat India di sekitar Slim River hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sepanjang tempoh berkempen yang bermula semalam, setiap calon perlu mematuhi peraturan termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, saringan suhu badan, penggunaan sanitasi tangan, selain mengehadkan kehadiran tidak melebihi 250 orang bagi aktiviti ceramah.

Mohd Zaidi, 43, berkata beliau juga menggunakan media sosial seperti Facebook untuk berkempen.

Katanya, beliau akan cuba bertemu dengan seramai mungkin pengundi di DUN Slim, selain menemui jentera parti di kesemua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memberikan kata-kata semangat dan perangsang untuk mereka melaksanakan kempen mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi juga tidak menganggap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini sebagai penghalang proses kempen beliau.

Amir Khusyairi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftarkan berkata beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk menemui para pengundi di DUN berkenaan.

"PKPP ini tidak mengganggu untuk kami berkempen dan liputan kempen kami boleh buat 100 peratus bahkan 150 peratus asalkan patuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Beliau sebelum itu mengadakan tinjauan mesra dan lawatan rumah ke rumah di Felda Utara Trolak di sini dengan turut dibantu Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik.

PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi, Amir Khusyairi dan seorang lagi calon Bebas S. Santharasekaran, 44.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 2:45pm
    d