mutakhir

Langkawi diisytihar hab coklat negara

Oleh Hamzah Osman

LANGKAWI hari ini secara rasmi diisytiharkan sebagai hab coklat negara bagi merancakkan pembangunan sektor hiliran koko dan tarikan pelancong ke pulau itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu seiring hasrat kementerian menjadikan Malaysia sebagai Raja Coklat di rantau Asia.

"Langkawi menerima sejumlah besar pelancong dari seluruh dunia dan ia sesuai untuk menjadi pemangkin kepada promosi produk coklat buatan tempatan.

"Konsepnya adalah kita menyediakan rangkaian niaga setempat yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pembuatan dan penjualan coklat," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan dan Pelancaran Hab Coklat Langkawi di Langkawi hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Pengajian Tinggi negeri, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri, Dr Robert Ling Kui Ee.

Mohd Khairuddin berkata, sebagai nilai tambah kepada hab itu, sebuah Muzium Coklat akan dibangunkan syarikat swasta dengan kerjasama kerajaan negeri.

"Projek itu masih dalam proses perbincangan dengan tapaknya telah dikenal pasti di kawasan berhampiran produk pelancongan popular SkyCab," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 3:20pm
d