mutakhir

Perhilitan halau gajah ke hutan

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mengesan terdapat antara 20 hingga 25 gajah bergerak dalam beberapa kumpulan di kawasan hutan Kuala Tembeling, Jerantut.

Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata, haiwan berkenaan sebelum ini dikesan memusnahkan tanaman kelapa sawit milik penduduk selain turut muncul di Kampung Batu Balak.

Menurutnya, susulan aduan diterima, beberapa kakitangan Pejabat Perhilitan Jerantut dihantar melakukan pemantau di kampung terbabit.

Katanya, operasi menghalau juga dilakukan bagi memastikan haiwan liar itu kembali ke hutan kawasan habitat sekali gus mengekang ia kembali ke penempatan manusia.

"Kita berharap kerjasama pemilik ladang kelapa sawit dapat dilakukan dengan cara membuat halangan fizikal supaya gajah tidak datang lagi ke ladang mereka.

"Saya menasihatkan kepada penduduk setempat supaya segera menghubungi Perhilitan sekiranya melihat kehadiran haiwan liar berkenaan di kawasan kampung mereka termasuk ladang kelapa sawit," katanya dihubungi, hari ini.

Sebelum ini Harian Metro menyiarkan laporan serangan kumpulan gajah memusnahkan kira-kira 350 kelapa sawit milik dua pekebun sehingga kerugian lebih RM100,000.

Haiwan liar itu turut dilihat berkeliaran di belakang kediaman penduduk hingga menimbulkan kebimbangan masyarakat setempat, kumpulan gajah terbabit dikatakan datang dari kawasan Kampung Pulau Tawar, Jerantut.

Rozidan berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menangkap dan memindahkan haiwan terbabit berikutan ia kini sudah berada dalam kawasan hutan yang menjadi habitatnya namun sekiranya keadaan memerlukan operasi tangkap dan pindah akan dilakukan.

"Masyarakat setempat diingatkan supaya tidak menghampiri kumpulan gajah untuk menghalau mereka kerana perbuatan itu mengundang bahaya.

"Gajah akan bertindak diluar jangkaan apabila terancam," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 3:42pm
d