mutakhir

235 individu ditahan ingkar PKP semalam

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SERAMAI 235 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 15 individu direman manakala 220 individu pula dikenakan kompaun.

Menurutnya, 15 individu ditahan dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran, gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (26), premis beroperasi lebih masa (12), tidak memakai pelitup muka (16), gagal melunaskan bayaran kuarantin (1) serta aktiviti dengan membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (165).

Semalam, katanya, polis turut mengadakan 65 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 25,019 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) terutamanya di lorong-lorong tikus.

"PDRM menahan seorang warga asing kerana kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga 15 Ogos lalu, seramai 11,384 individu sudah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 57 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Kedah, dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, seramai 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 4,295 individu didiscaj dan dibenarkan pulang.

"Mereka pulang dari 11 negara iaitu Bangladesh, Singapura, Iran, UAE, Qatar, Australia, Filipina, Turki, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia," katanya.

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 4:27pm
d