mutakhir

Polis buru dua lagi suspek

Oleh Omar Ahmad

POLIS sedang mengesan dua lagi rakan jenayah kepada remaja yang maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan curi Proton Exora di Kilometer 20.5 Johor Bahru-Kota Tinggi, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzil Mohd Zain berkata, dua suspek itu melarikan diri sejurus kemalangan yang mengorbankan rakan mereka manakala seorang lagi parah.

"Tangkapan dibuat terhadap suspek yang dirawat di Unit Kecemasan Zon Merah, Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Polis sedang giat mengesan dua lagi suspek yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan melarikan kenderaan," katanya.

Beliau berkata, terdahulu, empat suspek itu melarikan Proton Exora milik lelaki warga tempatan berusia 53 tahun selepas menyamun mangsa di Jalan Beladau, Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru pada 6.45 pagi sebelum kemalangan berlaku pada 7.30 pagi.

"Mangsa memandu sendirian dan ketika melalui lokasi terbabit, dia melihat seorang lelaki terbaring di tengah jalan lalu memberhentikan kenderaan dan menurunkan cermin kereta. Ketika itu dia diserang oleh keempat-empat suspek.

"Mangsa ditumbuk di muka beberapa kali sehingga jatuh ke jalan raya dan empat suspek melarikan kenderaan terbabit," katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki yang terbaring itu warga India dan mengalami luka di muka, kepala dan sakit di belakang badan disyaki akibat disamun oleh suspek sama.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Maslinah di talian 019-7299064.

Berita berkaitan

Dosa dibayar 'cash'

Disiarkan pada: August 16, 2020 @ 11:52pm
d