mutakhir

Kantoi bukan orang nogori

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

LUCU apabila seorang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mengaku penduduk tempatan namun terpinga-pinga apabila diminta menyanyikan lagu kebesaran Negeri Sembilan.

Malah ada juga cuba menyembunyikan diri di atas siling rumah dan pelbagai alasan lain bagi mengelakkan diri daripada ditangkap pihak berkuasa.

Itu antara taktik yang digunakan PATI untuk mengaburi pihak berkuasa ketika ditahan dalam Op bersepadu Polis Jempol bersama agensi Kementerian Kesihatan, Majlis Daerah Jempol ( MPJL ) RELA, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Penerangan.

Dalam operasi bermula 10.30 malam hingga 5 pagi tadi di sekitar Jempol, Negeri Sembilan, seramai 32 individu ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata 17 PATI dari Indonesia, Bangladesh (9), Myanmar (5) dan seorang warganegara Vietnam.

"Op ini adalah inisiatif Pegawai Daerah Jempol bagi membanteras kebanjiran PATI selain mengekang penularan wabak Covid-19 membabitkan warganegara asing yang memasuki negara ini secara tidak sah.

"Selain Op bersepadu ini, pada masa sama kita turut mengadakan pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard ( SOP ) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ( PKPP ) dilokasi tumpunan ramai," katanya.

Hadir sama dalam operasi itu ialah Pegawai Daerah Jempol Syahrul Nizam Saleh dan Yang Dipertua MPJL Raja Norazli Raja Nordin.

Semua PATI ditangkap diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: August 17, 2020 @ 4:05pm
d