mutakhir

Pertimbang pemandu kenderaan berat jalani ujian swab

Oleh Nurul Amanina Suhaini

KERAJAAN disaran mempertimbangkan untuk menjalani ujian swab terhadap pemandu kenderaan berat yang memasuki sempadan negara dalam mengekang penularan Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, ujian swab perlu dibuat lebih teliti terutama membabitkan pintu masuk negara kerana setakat ini, pemeriksaan yang dilakukan hanya ujian suhu sahaja.

Katanya, sebahagian besar lori yang masuk ke negara jiran membawa bekalan makanan dan keperluan asas.

"Jadi kita (kerajaan negeri) pun bersetuju sebagai jiran yang baik, kita benarkan kenderaan membawa barangan itu masuk ke Singapura dan hanya perlu menjalani ujian suhu sahaja.

"Tetapi apabila sudah buka juga untuk sektor-sektor lain, kita merasakan mengapa tidak pemandu lori ini juga disyaratkan mengambil ujian swab sebagai satu kaedah ujian," katanya berucap di Majlis Padanan Perniagaan antara Konsortium Penternak Ayam Muslim Sdn Bhd dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Johor Bahru, hari ini.

Hasni berkata, perkara itu sedang dirunding bersama pihak bertanggungjawab supaya kegiatan ekonomi di Johor bergantung secara langsung dengan perkembangan ekonomi negara jiran.

"Bukanlah bermakna negara jiran itu kita tidak mengambil langkah yang perlu, tetapi berdasarkan perangkaan (kes Covid-19) yang dipaparkan, ia menunjukkan bahawa kita dapat mengawal pandemik dengan lebih berkesan.

"Maka kita perlu jaga kepentingan masyarakat dalam kita berdepan dengan pandemik yang mencabar ini.

"Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ia cukup menekankan ekonomi negara dan kerajaan membelanjakan RM295 bilion untuk mendukung ekonomi negara termasuk membantu pihak yang terjejas," katanya.

Semalam, selepas hampir enam bulan ditutup, Tambak Johor yang disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia, kini kembali dilalui rakyat Malaysia dan Singapura untuk merentas sempadan.

Hanya kira-kira 2,060 rakyat kedua-dua negara dibenarkan merentas sempadan setiap hari, namun perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ketat ditetapkan dua negara berkenaan, selain yang dibenarkan merentas sempadan pada pembukaan fasa pertama ini membabitkan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 1:10pm
    d