mutakhir

Kerajaan yakin kemampuan urus komitmen kewangan tambahan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KERAJAAN yakin kemampuan menguruskan komitmen kewangan tambahan bagi melaksanakan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 berjumlah RM45 bilion dilaksana kerajaan selepas meneliti semua aspek termasuk perundangan dan Perlembagaan.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memastikan pakej rangsangan yang diperkenalkan menerusi program dan projek mampu memulihkan semula ekonomi sekali gus memberi impak segera kepada rakyat selain persediaan jangka sederhana.

"Rujukan dibuat berdasarkan kerangka negara lain untuk memastikan undang-undang yang diperkenalkan selari di peringkat antarabangsa.

"Kerajaan juga sentiasa memastikan program, projek dalam pakej rangsangan, pelan pemulihan ekonomi memberikan impak langsung kepada rakyat dan ekonomi dalam tempoh segera serta jangka sederhana," katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, kemampuan kewangan kerajaan juga diukur menerusi sejauh mana kerajaan berupaya untuk kembali mematuhi disiplin fiskal sedia ada selepas tamat tempoh kuatkuasa akta ini.

Katanya, dana bagi perbelanjaan berkaitan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi dimasukkan ke dalam satu Kumpulan Wang Khas dan perbelanjaannya menjadi sebahagian daripada pengiraan defisit keseluruhan kerajaan.

"Semua item perbelanjaan berkaitan pakej rangsangan, pelan pemulihan disenaraikan dengan jelas di dalam RUU ini. Akta ini memerlukan kerajaan membentangkan laporan tahunan semua perbelanjaan berkaitan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi seperti yang disenaraikan," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 2:51pm
d