mutakhir

Bina kiosk cuci tangan di sekolah [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

SEBANYAK 32 daripada 100 sekolah dalam negara terpilih untuk fasa pertama projek pembinaan kiosk cuci tangan.

Presiden Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, ia inisiatif bagi membantu mengawal penularan Covid-19 dan meningkatkan lagi kesedaran berkaitan penjagaan kebersihan dalam kalangan warga sekolah.

Menurutnya, projek dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu akan dikembangkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Antara kriteria yang ditetapkan dalam pemilihan sekolah bagi projek ini termasuk berada dalam daerah dengan jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi serta mempunyai jumlah murid serta pelajar yang ramai.

"Ia juga termasuk daripada segi kelengkapan di sekolah itu. Kita tidak secara umum pergi ke sekolah yang mempunyai kelengkapan mencukupi, kebanyakan sekolah terpilih adalah di luar bandar atau sekolah di bandar yang memenuhi kriteria," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran 'Handwashing Kiosk' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh hari ini.

Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat melancarkan kiosk cuci tangan di sekolah berkenaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar & Kurikulum) Dr Mohamed Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank Shahril Azuar Jimin.

Ahmad Faizal berkata, selain Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan antara yang sudah menerima kemudahan itu setakat ini.

"Projek membabitkan pembinaan kiosk dalam kawasan sekolah yang menempatkan sinki, paip air dan tempat meletak sabun bagi mencuci tangan.

"Kiosk menempatkan dua ke empat sinki dengan kos setiap satu dianggarkan RM5,000 hingga RM7,000 terletak di hadapan atau berdekatan laluan masuk murid serta pelajar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 3:17pm
    d