mutakhir

Keluarga kilang roti pengundi tunggal Kampung Masjid Lama [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEMBILAN beranak menjadi satu-satunya keluarga di Kampung Masjid Lama berhampiran Pasar Awam Slim River di sini, yang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Mokhtar Amat Mohamad Taqi, 58, berkata, ketika ini, hanya keluarganya mendiami kawasan berkenaan selepas beberapa rumah diroboh.

Menurutnya yang juga pemilik Kilang Roti Mokhtar yang terkenal di Slim River, alamat rumahnya juga tidak boleh digunakan untuk penghantaran pesanan barangan dibeli secara dalam talian kerana tiada dalam rekod.

"Kampung ini hanya ada sebuah rumah saja iaitu rumah kami, sebelum ini pun memang tidak banyak rumah, hanya ada empat kediaman saja sebelum ia diroboh.

"Apabila beli barangan secara dalam talian, kami akan membuat penghantaran ke rumah saudara berhampiran. Setakat ini, saya rasa okey saja, cuma pernah terlepas banci penduduk," katanya ditemui hari ini.

Berkaitan roti dihasilkannya, Mokhtar berkata, dia tidak pernah lokek berkongsi resepi berusia lebih 35 tahun itu.

"Ramai yang datang ke sini untuk belajar cara membuat roti. Mereka boleh belajar dan lihat, tetapi ia perlu mengambil masa lama untuk mendapatkan hasil yang baik.

"Bagi saya, ilmu boleh dikongsi tetapi yang penting adalah kemahiran, jangan ikut cara orang lain sebaliknya gunakan cara sendiri," katanya yang dibantu isteri, Norhashimah Amir, 53, dan tiga anak mereka.

Menurut Mokhtar, ketika ini, pihaknya menghasilkan roti secara tradisional dengan menggunakan 'ketuhar' diperbuat daripada simen manakala bahan bakarnya pula ialah kayu.

"Bagaimanapun, bekalan kayu ketika ini agak sukar diperoleh namun kami tetap berusaha untuk mengekalkan cara tradisional.

"Kami menghasilkan enam jenis roti dengan pengeluaran 1,000 hingga 1,500 roti pada hari minggu dan 700 hingga 800 pada hari bekerja.

"Pada pilihan raya lalu, kami ada terima banyak tempahan roti namun kali ini, belum ada tempahan dibuat. Cuma ramai orang luar datang membeli," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 4:44pm
d