mutakhir

Tak mengaku salah bakar kitab di masjid

Oleh Amir Mamat

LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar beberapa kitab di Masjid Tengkera, pada 11 Ogos lalu.

Tertuduh, Mohamad Azahar Ramlan Ragawan, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Masjid Tengkera di Jalan Tengkera, 4.08 petang, 11 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435/511 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan letupan atau bahan api yang boleh menyebabkan kerosakan harta awam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut Seksyen 435 KK, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan selain boleh didenda jika sabit kesalahan.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 5:12pm
d