mutakhir

Kes banglo Guan Eng: Mahkamah batal rayuan Muhsin

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini membatalkan rayuan aktivis, Muhsin Abdul Latheef agar menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya berhubung pembebasan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan ahli perniagaan wanita Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah.

Pada 3 September 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Lim dan Phang membabitkan pembelian sebuah lot tanah dan banglo pada 2018 di bawah harga pasaran, selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah mereka tidak mahu meneruskan pendakwaan susulan representasi yang diterima daripada Lim dan Phang.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam Ramkarpal Singh memberitahu mahkamah bahawa Muhsin telah memfailkan notis penarikan balik rayuan pada Khamis lalu.

Beliau berkata, walaupun Muhsin telah memfailkan notis untuk penarikan balik rayuan itu, peguam diberitahu oleh mahkamah untuk hadir ke mahkamah hari ini, tetapi sebaliknya beliau berkata, Muhsin dan peguamnya tidak hadir pada prosiding hari ini.

Ramkarpal yang turut mewakili peguam Phang, Datuk V. Sithambaram berkata, berdasarkan notis penarikan balik rayuan itu, perintah yang sesuai adalah agar rayuan itu dibatalkan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Mohd Zain Ibrahim mewakili pihak pendakwaan.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mengetuai panel tiga hakim, kemudian membatalkan rayuan itu.

Dua lagi hakim adalah Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

Muhsin memfailkan permohonan untuk mengkaji dan menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Lim dan Phang berdasarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menggugurkan pertuduhan itu, adalah tidak sah dan memohon mahkamah menggantikan perintah itu kepada dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Pada 12 Oktober 2018, Mahkamah Tinggi menolak semakan Muhsin, memutuskan bahawa dia tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan semakan itu.

Pada 3 September 2018, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Lim dan Phang selepas peguam mereka memohon anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 6:26pm
d