mutakhir

200 individu terjejas akibat Kluster Sivagangga fail saman esok

Oleh Noorazura Abdul Rahman

HAMPIR 200 penduduk serta peniaga yang terjejas akibat Kluster Sivagangga akan memfailkan saman terhadap pemilik restoran Nasi Kandar Salleh esok, bagi menuntut kerugian yang dialami selepas didakwa mencetuskan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerusi jawatankuasa khas akan mewakili penduduk berkenaan bagi proses saman di Mahkamah Sesyen Alor Setar esok, diwakili peguam daripada Zunun & Co.

Katanya, proses memfailkan saman itu terbahagi kepada empat kategori iaitu membabitkan peniaga, pembantu kedai, penduduk dan pesakit serta suspek Covid-19.

"Individu ini kita kumpul menerusi wakil mereka yang kita lantik iaitu dua orang wakil di Sanglang, Perlis dan Megat Dewa. Masing-masing seorang wakil mewakili penduduk Napoh, peniaga RTC Napoh dan peniaga sekitar kawasan yang terjejas di Napoh.

"Kita berhubung dengan mereka menerusi aplikasi WhatsApp dan ada nama yang disenaraikan terpaksa ditolak atas sebab tertentu. Namun jika hari ini masih ada penduduk yang mahu memfailkan saman, kami tak akan nafikan hak mereka," katanya dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Yusrizal berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mengenal pasti pesakit dan suspek Covid-19 yang mahu memfailkan saman.

Katanya, proses saman itu membuktikan CAKE sangat mengambil berat mengenai penduduk dan peniaga yang terpaksa menanggung kesan psikologi serta kerugian selepas tercetusnya kluster berkenaan.

"Tuntutan saman ini dibuat berdasarkan nasihat peguam bagi memberi pengajaran kepada semua orang supaya tidak sewenang-wenangnya melanggar arahan kuarantin sehingga menyebabkan virus Covid-19 merebak," katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan, penduduk dan peniaga di Napoh akan memfailkan saman RM1 juta terhadap pemilik restoran Nasi Kandar Salleh bagi menuntut kerugian yang dialami selepas didakwa mencetuskan Kluster PUI Sivagangga.

CAKE akan mengetuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama penduduk dan peniaga pekan Napoh akan memfailkan saman bersama terhadap pemilik Restoran Salleh, Nezar Mohamed Sabur Batcha yang ingkar kuarantin di rumah (HSO) selepas pulang dari India.

Nezar Mohamed juga sudah dijatuhi hukuman denda RM12,000 dan penjara lima bulan Khamis lalu, selepas mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada bulan lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 7:05pm
    d