mutakhir

Tunggakan kompaun parkir RM10.3 juta

Oleh Asrol Awang

SEJUMLAH RM10.3 juta tunggakan kompaun parkir gagal dijelaskan pemilik kenderaan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sejak 2010.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK Norkamawati Kamal berkata, jumlah tunggakan itu membabitkan 1.32 juta kompaun atas pelbagai kesalahan termasuk parkir di luar petak.

"Bagi memastikan pesalah menjelaskan kompaun, MPK melakukan sekatan bagi mendapatkan perkhidmatan seperti pembelian dokumen tender dan sewaan gerai.

"Selain itu, MPK mengadakan operasi antaranya apit roda, tidak boleh memperbaharui lesen perniagaan, operasi waran tangkapan dan notis mahkamah.

"Penguatkuasaan itu membantu tetapi kesedaran pesalah untuk menjelaskan kompaun belum lagi mencapai sasaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya kemungkinan MPK akan menawarkan diskaun pengurangan kompaun, beliau berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenainya setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, pesalah yang berhasrat membuat pembayaran secara ansuran boleh berbuat demikian.

"Ketika ini pemilik kenderaan tidak berdepan masalah untuk membeli kupon parkir kerana MPK mempunyai 500 ejen di seluruh daerah itu.

"Pada masa sama, pemilik kenderaan juga boleh menggunakan aplikasi PahangGo kerana kaedah penggunaannya lebih mudah dalam urusan parkir.

"Oleh itu, kita meminta pemilik kenderaan mengikut peraturan yang ditetapkan bagi mengelak dikenakan kompaun," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 7:12pm
d