mutakhir

SWM Environment pasang 2,098 Jalur Gemilang

Oleh Mohd Amin Jalil

SYARIKAT sisa pepejal, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) memasang 2,098 Jalur Gemilang di kenderaan syarikat itu yang beroperasi di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, di Johor sebanyak 1,252 bendera dipasang manakala Negeri Sembilan (436) dan Melaka (410).

Katanya, pemasangan Jalur Gemilang turut dilakukan di setiap premis miliknya.

"Pemasangan bendera di kenderaan operasi SWM Environment dilakukan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan warga kerja dan rasa bangga syarikat terhadap negara.

"Walaupun negara kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat wabak Covid-19, sambutan bulan kebangsaan peringkat jabatan itu masih diteruskan.

"Kita sentiasa menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan di ketiga-tiga negeri seliaan SWM Environment iaitu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor," katanya selepas melancarkan kempen memasang Jalur Gemilang peringkat SWM Environment di Seremban 2, hari ini.

Hadir sama, Pengurus SWM Environment Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan Dr Al'Ashari Othman.

Mengenai operasi kutipan sisa pepejal, Mohd Norlisam berkata, kesedaran orang ramai terhadap amalan kitar semula sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin meningkat.

"Amalan itu dapat dilihat menerusi kutipan dilaksanakan mendapati jumlah barang kitar semula terus meningkat.

"Kita berharap sikap positif diteruskan kerana ia dapat membantu ke arah pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 7:26pm
d