mutakhir

111 nelayan Vietnam ditahan

Oleh Rosli Ilham

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sembilan bot nelayan asing bersama 111 tekong dan nelayan Vietnam dalam Operasi Kuda Laut di kawasan perairan pantai timur negara.

Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Amran Daud berkata, mereka ditahan dalam tiga siri tangkapan yang dilakukan pada kelmarin dan semalam.

Menurutnya, dalam operasi kelmarin, pihaknya berjaya menahan tujuh bot nelayan manakala dua lagi bot ditahan petang semalam.

"Kita menahan mereka pada jarak antara 68 hingga 147 batu nautika dari Kuala Kemaman.

"Kesemua tekong dan nelayan Vietnam yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 55 tahun," katanya dalam sidang media di Jeti APMM di Kemaman, hari ini.

Amran berkata, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM10 juta termasuk 15 metrik tan hasil tangkapan serta 20,000 liter diesel.

"Bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam kemudian dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman dan Jeti Maritim Kelantan untuk siasatan lanjut.

"Empat daripada bot terbabit menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelak daripada ditahan," katanya.

Menurutnya, salah sebuah bot yang ditahan itu disabotaj oleh nelayan Vietnam sehingga mengalami kebocoran sebelum bot terbabit tenggelam pada jarak 30 batu nautika dari Kuala Kemaman pada jam 3.34 pagi tadi.

"Bagaimanapun anggota kami berjaya menyelamatkan nelayan Vietnam yang berada di dalam bot terbabit daripada menjadi korban.

"Kami percaya tindakan sedemikian dilakukan oleh nelayan Vietnam untuk melupuskan bukti kes yang mana sebelum ini mereka pernah melakukan tindakan yang sama," katanya.

Amran berkata, kesemua mereka akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah daripada Jabatan Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah.

"Kesemua yang ditahan akan menjalani saringan Covid-19 sebelum diambil tindakan lanjut.

"Sehingga kini melalui OP Kuda Laut, kita berjaya menahan 45 bot nelayan asing dengan 502 awak-awak termasuk tekong," katanya.

Menurutnya, pihaknya memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.

"Orang ramai juga disarankan memberi kerjasama untuk membantu menangani sebarang aktiviti jenayah maritim dengan membuat aduan melalui talian MERS999 atau Pusat Operasi Maritim Terengganu di talian 09-6224357 dan Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2020 @ 8:00pm
d