mutakhir

Premis judi dipotong bekalan elektrik

Oleh Adnan Ibrahim

SERAMAI 25 orang berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan mengikut Seksyen 44(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 kerana dipercayai terbabit dengan judi nombor ekor dalam tempoh antara 9 Jun lalu hingga hari ini.

Dalam tempoh sama, seramai lapan individu berusia lingkungan 30-an turut ditahan mengikut Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953 selepas dipercayai terbabit dengan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM4,137, 40 telefon bimbit, 20 mesin pencetak dan 115 keping kertas catatan sepanjang tempoh itu.

Menurutnya, sebanyak tujuh buah premis sudah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik mengikut Seksyen 21A(1) ARJT 1953 hasil kerjasama pihaknya dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Sebanyak 15 buah premis lagi akan diambil tindakan sama oleh pihak TNB sebagai usaha untuk mengekang kegiatan sama berulang.

"Tindakan pembatalan lesen premis juga akan dimajukan kepada pihak Majlis Perbandaran Kluang (MPK)," katanya hari ini.

Menurut Mohd Abduh, pihaknya mengingatkan kepada semua pemilik premis yang masih terus berdegil menjalankan kegiatan perjudian agar menghentikannya segera kerana tindakan berterusan akan diambil bagi memastikan daerah ini bersih daripada aktiviti tidak bermoral ini.

Katanya, kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat tentang aktiviti perjudian seperti itu amat dihargai dan diharapkan ia akan berterusan pada masa-masa akan datang.

Disiarkan pada: August 19, 2020 @ 9:56am
d